Wednesday, May 20, 2009

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

BUKU YANG DIPILIH UNTUK TUGASAN 1

Pengarang : Selva Ranee Subramaniam

Tahun terbitan : 2007

Tajuk buku : Action Research for Exemplary Science Teaching

Negeri penerbit : Shah Alam, Selangor

Nama penerbit : Karisma Publications Sdn. Bhd


PENGENALAN

Buku yang bertajuk Action Research for Exemplary Science Teaching yang ditulis oleh Selva Ranee Subramaniam ini berkisarkan tentang perkongsian idea dan pengalaman kerjasama antara pendidik serta penulis dalam perlaksanaan amalam kajian tindakan dalam pengajaran Sains bagi memastikan jaminan dan peningkatan kualiti dalam bidang pendidikan tercapai.

KONSEP KAJIAN TINDAKAN

Menurut buku ini, kajian tindakan adalah bermula dari Kurt Lewin yang mana menyatakan bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah inkuiri. Menurut (McKernan, 1991) pula, kajian literatur menunjukkan dengan jelas dan meyakinkan bahawa kajian tindakan merupakan satu perkara yang diperoleh daripada kaedah saintifik. Terdapat 2 aspek kajian tindakan iaitu untuk membawa perubahan dan menggalakkan refleksi di kalangan pengamal (orang yang mahir dan terlatih) tetapi ia mestilah dilakukan secara berterusan. Kajian tindakan adalah satu bentuk kajian penyelidik yang mana mereka memeriksa dan membuat kajian pendidikan sendiri secara sistematik dengan menggunakan kaedah serta teknik-teknik kajian.

Kajian tindakan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk malah menurut Carr & Kemmis (1986 ) yang dimuatkan di dalam buku ini, terdapat prinsip-prinsip asas dalam kajian tindakan yang bermula dengan pengenalpastian masalah, perancangan tindakan, perlaksanaan, penilaian, dan refleksi di mana kesemua proses ini bertindak dalam satu kitar yang berterusan dan berkesinambungan. Kajian tindakan juga boleh berkonsepkan sebagai satu proses pembelajaran di mana penyelidik akan belajar serta mencipta pengetahuan melalui tindak balas yang kritikal terhadap tindakan dan pengalaman mereka sendiri ( Kolb, 1984). Oleh itu, situasi ini akan membawa kepada pembinaan semula konsep-konsep baru serta akan sentiasa berlaku ujian lanjutan terhadap amalan dalam sesebuah situasi yang baru dan autentik.

Kajian tindakan boleh dijalankan secara individu di dalam kelas atau sekolah, mahupun secara berkumpulan samada melibatkan peringkat sekolah mahupun daerah. Menurut (Calhoun, 1994; McLean, 1995), kajian tindakan melibatkan 3 langkah dalam proses lingkaran iaitu :

i) Perancangan, pencarian fakta atau pengkonsepsian
ii) perlaksanaan tindakan dan
iii) Interpretasi atau pencarian fakta tentang keputusan atau hasil daripada kajian yang dilakukan

Proses yang berbentuk lingkaran atau kitaran ini tiada permulaan atau pengakhiran yang spesifik dan sentiasa berterusan selagi pihak penyelidik mempunyai keperluan yang mendesak untuk dijalankan atau dikaji terutamanya apabila satu masalah baru atau isu timbul. Kajian tindakan dilakukan bagi mencapai matlamat untuk keperluan melakukan perubahan dalam sesuatu masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Zuber-Skerritt (1991) pula menggariskan 4 perkara yang diperlukan dalam amalan kajian tindakan iaitu keizinan atau kebenaran peserta, kolaborasi melalui penyertaan peserta, perolehan pengetahuan, dan perubahan sosial di mana kesemua proses ini perlu dijalankan dalam satu kitaran kajian tindakan yang melibatkan perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi.

Secara kesimpulannya, terdapat pelbagai definisi atau konsep untuk kajian tindakan tetapi kesemuanya mempunyai pandangan yang sama bahawa sesuatu kajian tindakan itu melibatkan satu inkuiri yang sistematik yang menggunakan beberapa langkah atau proses yang dijalankan secara kitaran dan berterusan.