Friday, May 22, 2009

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

REKABENTUK KAJIAN TINDAKAN

a) Model
Dalam buku ini mengulas tentang 3 model dalam kajian tindakan iaitu :

i) Model kajian tindakan teknikal

Melibatkan seorang penyelidik utama yang mengenalpasti masalah kajian dan mencadangkan satu penglibatan serta tindakan campur tangan yang mana beliau sendiri terlibat dalam perlaksanaan campurtangan tersebut. Bagaimanapun, pihak yang bekerjasama dalam kajian tersebut adalah bukan penyelidik utama.

ii) Model kajian tindakan praktikal

Menurut model ini, kajian tindakan melibatkan penyelidik dan pengamal (orang yang mahir dan terlatih) bersama-sama mengenalpasti masalah kajian dan memikirkan punca-punca serta kemungkinan untuk tindakan intervensi.

iii) Model Kajian Tindakan Bebas

Model ini melihat bahawa pengamal-pengamal bekerja bersama-sama sebagai satu kumpulan dan mengumpul masalah-masalah yang dikenalpasti serta memikir dan mencadangkan penyelesaian yang diperlukan.

Model yang digunakan untuk membuat contoh kajian tindakan pengajaran Sains dalam buku ini ialah Model Kajian Tindakan Teknikal. Penyelidik dan pengamal mengenalpasti masalah kajian bersama-sama dan memikirkan alasan-alasan yang berkemungkinan, halangan yang mungkin terlibat samada boleh atau tidak boleh diatasi, serta tindakan campur tangan yang boleh dicadangkan untuk dilaksanakan. Model Kajian Tindakan Teknikal dalam kes ini dimulakan oleh penyelidik yang lebih berpengalaman untuk menggalakkan serta menyokong amalan-amalan yang lebih efisien dan efektif.

b) Sampel

Pelajar-pelajar tingkatan 5 yang mengambil matapelajaran Biologi, Kimia dan Fizik

c) Seting dan Metodologi Kajian

Dalam buku ini, penulis telah memberikan contoh kajian tindakan untuk mata pelajaran Biologi, Kimia dan Fizik di mana beliau telah memilih beberapa tajuk yang bersesuaian untuk membuat aktiviti bagi kajian tindakan supaya lebih mudah difahami dan diminati oleh pelajar. Penulis telah merancang untuk mengadakan perbincangan untuk mengajar topik tersebut dan melakar aktiviti yang akan dijalankan.

Bagi contoh untuk subjek Biologi, penulis membuat tiga kitaran kajian tindakan. Dalam setiap kitaran penulis menggunakah langkah-langkah kajian iaitu :

i) Merancang apa aktiviti yang ingin dilakukan untuk topik tersebut
ii) Melakukan tindakan dan perlaksanaan
iii) Membuat pemerhatian
iv) Membuat Refleksi
v) Membuat penambahbaikan hasil daripada refleksi
vi) Analisis keseluruhan

Langkah-langkah ini diulang untuk kitaran ke dua dan ke tiga. Kitaran pertama menunjukkan proses pengajaran dan pembelajaran sebagai satu platform untuk menyebarkan fakta dan pengetahuan kepada pelajar dengan penekanan yang minima ke atas strategi-strategi pedagogi yang sesuai. Kitaran ke dua menunjukkan guru mempunyai pengetahuan pedagogi dalam menyampaikan isi pengajaran. Kitaran ke tiga merupakan satu kaedah yang memberikan contoh dengan menggunakan pendekatan konstruktivis bersama teknologi untuk membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti yang dilakukan diperbaiki daripada satu kitaran kajian ke kitaran kajian yang baru.

Pada kitaran kajian pertama :
- Meliputi perbincangan dan lebih kepada pengajaran teori.

Pada kitaran kajian ke dua :
- Aktiviti pada kitaran pertama diulang tetapi dilakukan terlebih dahulu sebelum penerangan teori.
- Melengkapkan satu demi satu aktiviti dan melakukan perbincangan hasil yang diperolehi
- Melalui penambahbaikan aktiviti ini, pelajar didapati boleh membina pengetahuan mereka sendiri daripada data yang dipelajari dan bukan secara hafalan

Pada kitaran kajian yang ke tiga :
- Aktiviti yang lebih luas dilakukan di mana pelajar didedahkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan seharian pelajar
- Aktiviti dan kaedah pengajaran seperti persembahan slaid Power Point, bahan-bahan bacaan, aktiviti dari buku teks, 'handout' tambahan, permainan, aktiviti pemulihan dan peneguhan serta aktiviti pengajaran berganda.
- Melalui aktiviti sebegini, perasaan ingin tahu dan minat kepada Biologi dapat dipupuk dalam diri setiap pelajar.

Beberapa kitaran dilakukan dalam kajian tindakan supaya guru sentiasa memperbaiki strategi pengajaran secara berterusan supaya mudah difahami oleh setiap pelajar. Melalui penambahbaikan aktiviti yang dilakukan dalam setiap kitaran kajian tindakan tersebut, guru akan mengetahui kaedah yang paling disukai dan mudah diterima oleh pelajar selepas analisis dilakukan. Oleh kerana proses pengajaran dan pembelajaran adalah satu proses yang dinamik dan dengan adanya kemajuan serta kemudahan kepada teknologi, guru perlu mempunyai pengetahuan pedagogi dalam teknologi selain daripada pengetahuan pedagogi yang asas.



:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

MENGAPA GURU PERLU MELAKUKAN KAJIAN TINDAKAN?

Tujuan utama kajian tindakan dalam pendidikan perlu dijalankan oleh para guru di sekolah adalah untuk membuat perubahan yang diperlukan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita, maka dengan itu setiap guru mestilah mempunyai keinginan serta pengetahuan untuk membuat penyelidikan di sekolah. Guru-guru akan lebih berkeinginan untuk menjalankan kajian tindakan melalui galakan supaya mempunyai lebih kesedaran terhadap amalan serta persembahan mereka dalam pengajaran di dalam kelas. Seorang guru novis bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan terhadap isu semasa pendidikan malah perlu meningkatkan pengetahuan kajian pendidikan dan sentiasa berusaha secara progresif untuk menyumbang kepada penyelidikan.

Hasil kajian pada 1994 di Malaysia menunjukkan budaya terhadap kajian tindakan di kalangan para guru adalah tidak menggalakkan. Pada tahun 1996 Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan mengenalpasti halangan dalam perlaksanaan kajian tindakan di kalangan para guru. Antaranya ialah faktor kekurangan masa, sikap negatif guru terhadap kajian tindakan, kurang galakan serta sokongan dari pentadbir dan rakan sekerja, dan kejahilan tentang kepentingan kajian tindakan dan peranannya dalam pembangunan keprofesionalan guru. Akibat dari perkara-perkara ini memberikan impak yang signifikan ke atas hasil atau dapatan pembelajaran kepada pelajar. Guru adalah merupakan ejen untuk memenuhi keperluan kualiti pendidikan pada masa akan datang, maka dengan itu pada tahun 1998 Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan konsep kajian tindakan kepada guru serta pendidik guru di seluruh Malaysia.

Dalam profesion perguruan, dalam sesetengah keadaan, guru-guru menghadapi dilema bagaimana untuk menggunakan kaedah pengajaran yang ringkas supaya lebih difahami oleh pelajar mereka. Guru mesti dilengkapi dengan kandungan pengetahuan pengajaran serta pengetahuan pedagogi dan sejak 2 dekad yang lepas, telah terdapat satu terma yang merujuk kepada satu isi kandungan pengetahuan pedagogi yang mana membezakan antara 2 jenis pemahaman terhadap bahan subjek yang diperlukan oleh guru iaitu 'tahu apa' dan 'tahu kenapa' (Shulman, 1986).

Salah satu faedah kajian tindakan yang juga dinyatakan dalam buku ini ialah ia adalah fleksibel dan para guru boleh menggunakan kefleksibilitian ini untuk menjalankan kajian-kajian tindakan mikro bagi menyelesaikan atau membetulkan isu-isu yang kritikal dan yang memerlukan perhatian segera. Dalam perkara ini, menjalankan kajian tindakan tidak akan membebankan guru yang telah biasa mengajar serta melakukan tugas-tugas pentadbiran.

Pada masa sekarang, kita sedang menghadapi satu situasi di mana keperluan untuk mengubah para pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan akademik tetapi juga boleh mengaplikasikan pengetahuan tersebut mengikut konteks yang dipelajari. Keadaan ini hanya boleh diubah sekiranya pelajar dilatih untuk berfikir secara kritikal dan kreatif dan bukan sekadar belajar untuk peperiksaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para guru untuk menggalakkan para pelajar lebih mahir berfikir secara analitikal dan rasional. Situasi begini memerlukan para guru mengunakan kaedah strategi dan pendekatan yang sesuai dalam pengajaran supaya perkara tersebut dapat dicapai. Di sinilah perlunya kajian tindakan oleh para guru untuk melihat pelbagai kaedah yang berkesan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka supaya mudah diterima serta menghasilkan impak yang positif kepada pelajar. Konsep yang masing dipegang oleh kebanyakan guru untuk hanya menyampaikan tugas mereka semata-mata untuk peperiksaan kepada para pelajar mengikut kurikulum sahaja akan menyekat matlamat untuk melahirkan individu yang versatil serta serba boleh dalam mengaplikasikan pengetahuan mengikut konteksnya sebagai tenaga kerja.

Di dalam buku ini juga ada menyatakan usaha Rancangan Malaysia ke-9 untuk meningkatkan kapasiti pengetahuan serta inovasi dan juga mendidik 'mentaliti kelas pertama'. Pengetahuan, inovasi dan nilai akan menyumbang kepada kualiti modal insan negara. Pada peringkat sekolah, aktiviti kurikulum dan kokurikulum akan dikaji semula bagi memastikan asas yang kukuh untuk pembangunan kemahiran teras yang relevan untuk mengubah keperluan. Latihan kurikulum guru juga akan dikaji untuk memperbaiki kandungan subjek, menambah kemahiran pedagogi serta membolehkan pengaplikasian ICT dalam pendidikan. Keadaan ini sebenarnya membuka peluang atau jalan kepada pendidik atau guru untuk melakukan kajian tindakan serta kajian-kajian lain yang berkaitan untuk peningkatan keprofesionalan diri mereka.

Secara kesimpulannya, terdapat banyak faedah dan kepentingan bagi guru-guru untuk melakukan kajian tindakan dalam pendidikan untuk memastikan penambahbaikan amalan pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah. Setiap guru harus memainkan peranan untuk bersama-sama membuat kajian tindakan serta penyelidikan dalam pendidikan supaya sistem dan amalan pendidikan di negara kita menjadi lebih baik, malah menghasilkan generasi yang bermutu pada masa akan datang.