Saturday, May 23, 2009

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

KEBOLEHPERCAYAAN DAN KESAHAN KAJIAN TINDAKAN

Dalam membuat kajian tindakan di sekolah, pengesahan dari rakan sebaya dan pentadbiran sekolah adalah penting kerana ianya berguna untuk mendapat maklumbalas dan komen. Hal ini boleh digunakan untuk memperhalusi dan membuat perubahan terhadap kajian tindakan yang dilakukan. Peralatan yang digunakan dalam kajian hendaklah diuji terlebih dahulu untuk kesahihan serta kebolehpercayaannya. Contohnya ialah sekiranya menggunakan ujian ataupun soalan soal selidik untuk pelajar, maka soalan ujian tersebut haruslah mempunyai kesahihan untuk dijalankan ke atas pelajar supaya keputusan atau hasil yang diperolehi juga sah dan boleh dipercayai.

Kesahan dan kepercayaan dalam kajian tindakan juga boleh dinilai melalui data yang boleh dipercayai dan membandingkan kajian yang dilakukan dengan kajian orang lain melalui tinjauan literatur dari kajian kepustakaan.

ETIKA KAJIAN TINDAKAN

Di dalam buku ini, penulis tidak menerangkan secara spesifik mengenai etika kajian tindakan. tetapi melalui pemahaman saya berdasarkan bahan bacaan lain, etika dalam kajian tindakan boleh diambil kira dari beberapa aspek iaitu :

a) Batasan atau had kajian penyelidik yang tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan maklumat daripada orang lain atau peserta kajian untuk kegunaan diri sendiri

b) Kaedah kajian tindakan dalam pendidikan kebiasaannya melibatkan penyertaan orang luar dalam proses penyiasatan, maka dengan itu kajian tindakan yang berasaskan komuniti sentiasa berdepan dengan isu etika yang jarang dibenarkan atau diakui dalam jenis-jenis kajian yang lain. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab penyelidik untuk mengekalkan hak dan privasi peserta yang terlibat dalam kajiannya, termasuklah prosedur yang mengawal sebarang gangguan atau pencerobohan kehidupan mereka dan menyatakan hak milik sumber yang digunakan serta penggunaan produk untuk kajian.

c) Etika dalam kajian tindakan juga menggambarkan bagaimana proses kajian dijalankan dengan cara melindungi sensitiviti nilai budaya dan protokol kajian terhadap peserta.


PENILAIAN KESELURUHAN TERHADAP BUKU

Hasil daripada pembacaan yang dilakukan, saya berpendapat bahawa buku ini mempunyai banyak input dan pendedahan kepada kajian tindakan. Buku ini sangat sesuai dijadikan sumber rujukan oleh para guru untuk membuat kajian tindakan terutamanya kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran Sains. Namun begitu, konsep, model, dan kaedah yang di tulis di dalam buku ini boleh juga dijadikan panduan untuk melakukan kajian tindakan bagi mata pelajaran lain. Terdapat juga contoh rubrik penilaian untuk setiap refleksi yang dijalankan dalam kajian tindakan. Penulis turut menerangkan peranan guru-guru dalam perlaksanaan kajian tindakan yang mana sememangnya memenuhi tuntutan Kementerian Pendidikan dan juga penggunaan teknologi yang perlu ditekankan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di dalam buku ini, penulis juga mengulas tentang kajian tindakan dan pembangunan profesionalisme para guru dalam bidang pendidikan.

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA

Mengikut model yang dicadangkan untuk kajian tindakan dalam buku ini, penyelidik menginterpretasikan maklumat yang diperolehi daripada tugasan-tugasan dan juga ujian-ujian, mengenalpasti maklumat kritikal yang perlu dikemukakan, menyusun semula maklumat, dan cuba untuk mengingat kembali pengalaman yang ada dan kaitkan dengan penyelesaian masalah. Maklumat latar belakang pengetahuan sedia ada pelajar, ketersediaan untuk perolehan sumber-sumber dan bahan-bahan bacaan, pendedahan dan pengalaman dikumpul dan digunakan sebagai satu asas untuk merekabentuk semula kitaran pengajaran.

Penyelidik dan pengamal akan berbincang dan akan bekerjasama menganalisis situasi yang dikaji secara teknikal, kritikal dan juga kontekstual serta bergantung pada keadaan dan kedudukan. Kemudian pelbagai pernyataan atau saranan dibuat sebelum penilaian metakognitif akhir iaitu melalui pemikiran refleksi untuk mendedahkan para pelajar kepada eksperimen berbentuk 'hands-on' dan 'simulasi berasaskan komputer'. Penyelidik dan pengamal akan mengenalpasti masalah kemudian mencari cara atau strategi sebagai jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah kajian. Penyelidik akan membina inkuiri yang boleh dinyatakan melalui soalan contohnya seperti persoalan bagaimanakah penyelidik boleh meningkatkan kefahaman para pelajar dalam konsep sains bagi sesebuah topik pengajaran. Oleh itu, melalui persoalan inkuiri tersebut penyelidik akan tahu dan sentiasa ingat apa sebenarnya yang ingin dikaji. Proses inkuiri ini sangat bernilai dan berkesan untuk mengikut rangka masa kajian serta usaha yang dilakukan malah ia juga munasabah dan boleh dilaksanakan dalam lingkungan kerja harian pengamal.

Kemudian penyelidik dan pengamal akan membina pelan tindakan untuk melaksanakan strategi-strategi baru yang mana akan memastikan dan menentukan amalan dan latihan-latihan yang lepas dan sedia ada diambil kira. Rangka masa kajian mestilah tetap dan berterusan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebagai syarat dalam rancangan pengajaran tahunan sekolah. Oleh yang demikian, aktiviti yang dibuat sebagai latihan dalam kelas mestilah ringkas supaya mudah dijalankan serta boleh diikuti atau dicontohi.

Instrumen atau alat yang digunakan mestilah diperiksa terlebih dahulu untuk melihat kesahan dan kebolehpercayaannya. Diari, jurnal dan juga buku log yang ditulis oleh pelajar boleh digunakan secara fleksibel dan memberi tanggapan serta pemahaman yang sebenarnya tentang apa yang dirasai oleh mereka terhadap sesebuah pelajaran. Bagi sesuatu masa atau peristiwa yang tidak boleh dibuat pemerhatian oleh penyelidik, boleh dikenalpasti melalui data-data dari instrumen tersebut. Pemerhatian di dalam kelas untuk sesebuah pelajaran boleh dirakam melalui pita rakaman video atau audio untuk merekod situasi yang berlaku di dalam kelas.

Kajian tindakan juga melibatkan pengumpulan data dalam bentuk keputusan peperiksaan, gred tugasan yang diberikan, dan temubual secara rawak berdasarkan soalan-soalan pendek yang boleh pelajar masukkan dalam portfolio mereka. Jenis data yang dikumpulkan adalah berbeza bergantung kepada apa yang ingin kita perbaiki. Namun begitu, kajian tindakan untuk pengajaran sains sebolehnya bukan sahaja untuk melihat peningkatan gred di kalangan pelajar tetapi juga untuk menimbulkan minat dan kecenderungan yang positif terhadap mata pelajaran Sains. Ini adalah bergantung kepada penyelidik samada untuk menentukan hanya satu isu sahaja pada satu masa kajian ataupun mengaitkan beberapa isu yang saling bergantungan. Isu-isu utama perlu ditentukan oleh penyelidik sebelum kajian dijalankan.

Analisis data boleh menghasilkan satu corak rekabentuk tindakan baru muncul manakala tanggapan dan kefahaman baru juga diperolehi melalui respon serta maklum balas para pelajar. Analisis ini dapat digunakan dalam membina semula perancangan dan tindakan seterusnya. Melalui analisis data juga dapat mempertimbangkan samada satu strategi yang serupa boleh digunakan untuk masa hadapan, kekuatan dan kesulitan yang tidak diduga dalam sesuatu strategi yang digunakan, serta apakah inovasi baru yang diperlukan untuk memperbetulkan kesalahan dan kekurangan. Namun begitu, perkara yang perlu dipertimbangkan semasa membuat analisis ialah pengetahuan sedia ada pelajar, latar belakang pengalaman, pencapaian akademik, sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan juga penglibatan ibu bapa mereka dalam pendidikan anak-anak.

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

PROSEDUR KAJIAN TINDAKAN

Keperluan utama yang harus diambil perhatian dalam kajian tindakan adalah sentiasa berada pada jalan ataupun trek yang betul semasa menjalankan tindakan serta perlaksanaan semasa setiap kitar berlaku. Ini adalah kerana, pada ketika inilah akan berlakunya pengumpulan data yang dikehendaki dan dapat dikendalikan oleh penyelidik dan pengamal kajian tindakan tersebut supaya mereka dapat menganalisis serta mengolah data bagi mendapatkan penyelesaian untuk masalah yang dikaji. Melalui pengumpulan data yang betul, penyelidik juga dapat mencari jawapan serta penerangan tentatif untuk sesuatu masalah atau peristiwa dan kejadian dalam kajian dan akhir sekali untuk membuat penilaian terhadap keseluruhan proses dalam kajian yang dilakukan. Penilaian untuk keseluruhan proses mestilah bermula daripada fasa perancangan, fasa perlaksanaan, fasa pemerhatian, dan fasa refleksi.

Namun begitu, proses kajian yang dijalankan mengikut trek atau landasan yang betul dengan sendirinya akan memberikan data yang dapat melihat keseluruhan proses serta ulasan yang secara holistik. Secara asasnya, apabila penyelidik membuat refleksi, fokus kepada 4 perkara ataupun soalan yang mudah iaitu :

i) Apa yang kamu amalkan sekarang?
ii) Apa yang kamu ingin ubah?
iii) Kenapa anda mahukan atau perlukan perubahan?
iv) Apakah jangkaan target anda?

Soalan-soalan ini berguna untuk membantu penyelidik dalam mempersembahkan hasil kerja mereka kepada rakan-rakan serta masyarakat sebagai satu contoh kajian yang boleh digunakan oleh semua pihak.