Friday, May 22, 2009

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

MENGAPA GURU PERLU MELAKUKAN KAJIAN TINDAKAN?

Tujuan utama kajian tindakan dalam pendidikan perlu dijalankan oleh para guru di sekolah adalah untuk membuat perubahan yang diperlukan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita, maka dengan itu setiap guru mestilah mempunyai keinginan serta pengetahuan untuk membuat penyelidikan di sekolah. Guru-guru akan lebih berkeinginan untuk menjalankan kajian tindakan melalui galakan supaya mempunyai lebih kesedaran terhadap amalan serta persembahan mereka dalam pengajaran di dalam kelas. Seorang guru novis bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan terhadap isu semasa pendidikan malah perlu meningkatkan pengetahuan kajian pendidikan dan sentiasa berusaha secara progresif untuk menyumbang kepada penyelidikan.

Hasil kajian pada 1994 di Malaysia menunjukkan budaya terhadap kajian tindakan di kalangan para guru adalah tidak menggalakkan. Pada tahun 1996 Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan mengenalpasti halangan dalam perlaksanaan kajian tindakan di kalangan para guru. Antaranya ialah faktor kekurangan masa, sikap negatif guru terhadap kajian tindakan, kurang galakan serta sokongan dari pentadbir dan rakan sekerja, dan kejahilan tentang kepentingan kajian tindakan dan peranannya dalam pembangunan keprofesionalan guru. Akibat dari perkara-perkara ini memberikan impak yang signifikan ke atas hasil atau dapatan pembelajaran kepada pelajar. Guru adalah merupakan ejen untuk memenuhi keperluan kualiti pendidikan pada masa akan datang, maka dengan itu pada tahun 1998 Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan konsep kajian tindakan kepada guru serta pendidik guru di seluruh Malaysia.

Dalam profesion perguruan, dalam sesetengah keadaan, guru-guru menghadapi dilema bagaimana untuk menggunakan kaedah pengajaran yang ringkas supaya lebih difahami oleh pelajar mereka. Guru mesti dilengkapi dengan kandungan pengetahuan pengajaran serta pengetahuan pedagogi dan sejak 2 dekad yang lepas, telah terdapat satu terma yang merujuk kepada satu isi kandungan pengetahuan pedagogi yang mana membezakan antara 2 jenis pemahaman terhadap bahan subjek yang diperlukan oleh guru iaitu 'tahu apa' dan 'tahu kenapa' (Shulman, 1986).

Salah satu faedah kajian tindakan yang juga dinyatakan dalam buku ini ialah ia adalah fleksibel dan para guru boleh menggunakan kefleksibilitian ini untuk menjalankan kajian-kajian tindakan mikro bagi menyelesaikan atau membetulkan isu-isu yang kritikal dan yang memerlukan perhatian segera. Dalam perkara ini, menjalankan kajian tindakan tidak akan membebankan guru yang telah biasa mengajar serta melakukan tugas-tugas pentadbiran.

Pada masa sekarang, kita sedang menghadapi satu situasi di mana keperluan untuk mengubah para pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan akademik tetapi juga boleh mengaplikasikan pengetahuan tersebut mengikut konteks yang dipelajari. Keadaan ini hanya boleh diubah sekiranya pelajar dilatih untuk berfikir secara kritikal dan kreatif dan bukan sekadar belajar untuk peperiksaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para guru untuk menggalakkan para pelajar lebih mahir berfikir secara analitikal dan rasional. Situasi begini memerlukan para guru mengunakan kaedah strategi dan pendekatan yang sesuai dalam pengajaran supaya perkara tersebut dapat dicapai. Di sinilah perlunya kajian tindakan oleh para guru untuk melihat pelbagai kaedah yang berkesan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka supaya mudah diterima serta menghasilkan impak yang positif kepada pelajar. Konsep yang masing dipegang oleh kebanyakan guru untuk hanya menyampaikan tugas mereka semata-mata untuk peperiksaan kepada para pelajar mengikut kurikulum sahaja akan menyekat matlamat untuk melahirkan individu yang versatil serta serba boleh dalam mengaplikasikan pengetahuan mengikut konteksnya sebagai tenaga kerja.

Di dalam buku ini juga ada menyatakan usaha Rancangan Malaysia ke-9 untuk meningkatkan kapasiti pengetahuan serta inovasi dan juga mendidik 'mentaliti kelas pertama'. Pengetahuan, inovasi dan nilai akan menyumbang kepada kualiti modal insan negara. Pada peringkat sekolah, aktiviti kurikulum dan kokurikulum akan dikaji semula bagi memastikan asas yang kukuh untuk pembangunan kemahiran teras yang relevan untuk mengubah keperluan. Latihan kurikulum guru juga akan dikaji untuk memperbaiki kandungan subjek, menambah kemahiran pedagogi serta membolehkan pengaplikasian ICT dalam pendidikan. Keadaan ini sebenarnya membuka peluang atau jalan kepada pendidik atau guru untuk melakukan kajian tindakan serta kajian-kajian lain yang berkaitan untuk peningkatan keprofesionalan diri mereka.

Secara kesimpulannya, terdapat banyak faedah dan kepentingan bagi guru-guru untuk melakukan kajian tindakan dalam pendidikan untuk memastikan penambahbaikan amalan pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah. Setiap guru harus memainkan peranan untuk bersama-sama membuat kajian tindakan serta penyelidikan dalam pendidikan supaya sistem dan amalan pendidikan di negara kita menjadi lebih baik, malah menghasilkan generasi yang bermutu pada masa akan datang.

0 comments: