Saturday, May 23, 2009

:: TUGASAN 1 - ulasan buku ::

PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA

Mengikut model yang dicadangkan untuk kajian tindakan dalam buku ini, penyelidik menginterpretasikan maklumat yang diperolehi daripada tugasan-tugasan dan juga ujian-ujian, mengenalpasti maklumat kritikal yang perlu dikemukakan, menyusun semula maklumat, dan cuba untuk mengingat kembali pengalaman yang ada dan kaitkan dengan penyelesaian masalah. Maklumat latar belakang pengetahuan sedia ada pelajar, ketersediaan untuk perolehan sumber-sumber dan bahan-bahan bacaan, pendedahan dan pengalaman dikumpul dan digunakan sebagai satu asas untuk merekabentuk semula kitaran pengajaran.

Penyelidik dan pengamal akan berbincang dan akan bekerjasama menganalisis situasi yang dikaji secara teknikal, kritikal dan juga kontekstual serta bergantung pada keadaan dan kedudukan. Kemudian pelbagai pernyataan atau saranan dibuat sebelum penilaian metakognitif akhir iaitu melalui pemikiran refleksi untuk mendedahkan para pelajar kepada eksperimen berbentuk 'hands-on' dan 'simulasi berasaskan komputer'. Penyelidik dan pengamal akan mengenalpasti masalah kemudian mencari cara atau strategi sebagai jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah kajian. Penyelidik akan membina inkuiri yang boleh dinyatakan melalui soalan contohnya seperti persoalan bagaimanakah penyelidik boleh meningkatkan kefahaman para pelajar dalam konsep sains bagi sesebuah topik pengajaran. Oleh itu, melalui persoalan inkuiri tersebut penyelidik akan tahu dan sentiasa ingat apa sebenarnya yang ingin dikaji. Proses inkuiri ini sangat bernilai dan berkesan untuk mengikut rangka masa kajian serta usaha yang dilakukan malah ia juga munasabah dan boleh dilaksanakan dalam lingkungan kerja harian pengamal.

Kemudian penyelidik dan pengamal akan membina pelan tindakan untuk melaksanakan strategi-strategi baru yang mana akan memastikan dan menentukan amalan dan latihan-latihan yang lepas dan sedia ada diambil kira. Rangka masa kajian mestilah tetap dan berterusan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebagai syarat dalam rancangan pengajaran tahunan sekolah. Oleh yang demikian, aktiviti yang dibuat sebagai latihan dalam kelas mestilah ringkas supaya mudah dijalankan serta boleh diikuti atau dicontohi.

Instrumen atau alat yang digunakan mestilah diperiksa terlebih dahulu untuk melihat kesahan dan kebolehpercayaannya. Diari, jurnal dan juga buku log yang ditulis oleh pelajar boleh digunakan secara fleksibel dan memberi tanggapan serta pemahaman yang sebenarnya tentang apa yang dirasai oleh mereka terhadap sesebuah pelajaran. Bagi sesuatu masa atau peristiwa yang tidak boleh dibuat pemerhatian oleh penyelidik, boleh dikenalpasti melalui data-data dari instrumen tersebut. Pemerhatian di dalam kelas untuk sesebuah pelajaran boleh dirakam melalui pita rakaman video atau audio untuk merekod situasi yang berlaku di dalam kelas.

Kajian tindakan juga melibatkan pengumpulan data dalam bentuk keputusan peperiksaan, gred tugasan yang diberikan, dan temubual secara rawak berdasarkan soalan-soalan pendek yang boleh pelajar masukkan dalam portfolio mereka. Jenis data yang dikumpulkan adalah berbeza bergantung kepada apa yang ingin kita perbaiki. Namun begitu, kajian tindakan untuk pengajaran sains sebolehnya bukan sahaja untuk melihat peningkatan gred di kalangan pelajar tetapi juga untuk menimbulkan minat dan kecenderungan yang positif terhadap mata pelajaran Sains. Ini adalah bergantung kepada penyelidik samada untuk menentukan hanya satu isu sahaja pada satu masa kajian ataupun mengaitkan beberapa isu yang saling bergantungan. Isu-isu utama perlu ditentukan oleh penyelidik sebelum kajian dijalankan.

Analisis data boleh menghasilkan satu corak rekabentuk tindakan baru muncul manakala tanggapan dan kefahaman baru juga diperolehi melalui respon serta maklum balas para pelajar. Analisis ini dapat digunakan dalam membina semula perancangan dan tindakan seterusnya. Melalui analisis data juga dapat mempertimbangkan samada satu strategi yang serupa boleh digunakan untuk masa hadapan, kekuatan dan kesulitan yang tidak diduga dalam sesuatu strategi yang digunakan, serta apakah inovasi baru yang diperlukan untuk memperbetulkan kesalahan dan kekurangan. Namun begitu, perkara yang perlu dipertimbangkan semasa membuat analisis ialah pengetahuan sedia ada pelajar, latar belakang pengalaman, pencapaian akademik, sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan juga penglibatan ibu bapa mereka dalam pendidikan anak-anak.

0 comments: